Selasa, 18 Disember 2012

ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

Seksyen 15. Tidak menghormati Ramadhan.

Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan -


    (a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; (b) secara terbuka atau tempat awam didapatikan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 16. Tidak membayar zakat atau Fitrah.

Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi -


    (a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau (b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik atau mana-mana orang lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah;
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.




 Seksyen 18. Berjudi.

(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Dalam seksyen ini, "rumah judi" ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapatkan wang atau nilai wang.


 Seksyen 19. Minuman yang memabukkan.

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam yang lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


 Seksyen 20. Perbuatan sumbang mahram.

Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.


 Seksyen 21. Pelacuran.

(1) Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana orang yang -



    (a) melacurkan isterinya atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya; atau (b) menyebabkan atau membenarkan isterinya atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya melacurkan diri,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.


 Seksyen 23. Persetubuhan luar nikah.

(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subseksyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.


 Seksyen 24. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Seksyen 25. Liwat.

Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

 Seksyen 26. Musahaqah.

Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.


 Seksyen 27. Khalwat.

(1) Mana-mana -


    (a) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau (b) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 


 Seksyen 28. Lelaki berlagak seperti perempuan.

Mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

 Seksyen 29. Perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syara' di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.


 Seksyen 30. Memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu.

(1) Mana-mana orang yang memberikan keterangan palsu atau memalsukan keterangan bagi maksud ia digunakan dalam apa-apa peringkat dalam sesuatu prosiding kehakiman di mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

( 2 ) Mana-mana orang yang mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan itu telah dilakukan di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain berhubungan dengan agama Islam, memberikan apa maklumat berhubungan dengan kesalahan itu yang diketahuinya atau dipercayai sebagai palsu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


 Seksyen 35. Menggalakkan maksiat.

Mana-mana orang yang menganjur, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

 Seksyen 41. Qazaf.

Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara', empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

 Seksyen 43. Penyubahatan.

Seorang menyubahati pelakuan sesuatu perkara jika dia-


    (a) menghasut mana-mana orang supaya melakukan perkara itu; (b) mengambil bahagian bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lain dalam apa-apa pakatan jahat untuk melakukan perkara itu, jika sesuatu perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang berlaku ekoran daripada pakatan jahat itu, dan dengan tujuan hendak melakukan perkara itu; atau, (c) dengan sengaja membantu, dengan apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang, pelakuan perkara itu.
Huraian 1-Seseorang yang, dengan penyataan salah sengaja, atau penyembunyian sengaja suatu fakta material yang dia terikat mendedahkannya, dengan sengaja menyebabkan atau mendapatkan, supaya sesuatu perkara dilakukan adalah dikatakan menghasut supaya perkara itu dilakukan.

Huraian 2-Mana-mana orang, sama ada sebelum atau pada masa pelakuan sesuatu perbuatan, melakukan apa-apa jua dengan tujuan memudahkan pelakuan perbuatan itu, dan dengan itu memudahkan pelakuan itu, adalah dikatakan membantu dalam melakukan perbuatan itu.

 


 
 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan